Beginilah nasib anak-anak perempuan seperti yang digambarkan dalam Al-Quran sewaktu zaman jahiliyah. Betapa teruk sekali kedudukan seorang manusia dihinakan hanya kerana dia dilahirkan dengan memiliki jantina perempuan.
Tanpa sempat melakukan apa-apa dosa, tanpa sempat berbicara membela nama, bayi perempuan terus ditanam hidup-hidup dengan kering hati tanpa secebis belas.
Lalu Islam datang membawa sinar kehidupan yang terang. Meluruskan hiruk pikuk kehidupan yang tunggang langgang. Antaranya mengangkat semula darjat makhluk mulia ciptaan Allah iaitu kaum hawa yakni wanita.
Tatkala zaman jahiliyah melenyek lumat darjat seorang wanita, islam muncul memberi harapan. Islam tampil mambawa keadilan. Islam datang dengan pembelaan.
Islam telah meletakkan satu standard baru tentang kedudukan manusia. Standard yang sukar ditelan manusia jahiliyah baik dulu mahupun sekarang. Standard yang bukan berasaskan jantina. Standard yang bukan diukur oleh keturunan, harta mahupun pangkat.
Surah Al-Hujarat: 13
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍۢ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَـٰكُمْ شُعُوبًۭا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓا۟ ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللَّهِ أَتْقَىٰكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌۭ ١٣
Firman Allah SWT: “Hai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”.
TAQWA! Inilah standardnya. Siapa yang paling bertaqwa dialah yang paling mulia diantara manusia.
Standard taqwa ni mampu dicapai oleh segenap manusia. Untuk menjadi mulia kamu tidak perlu kaya, tidak perlu berjawatan, tidak perlu menjadi lelaki. Kamu hanya perlu langsung berurusan dengan sang pencipta tanpa perlu risau penipuan, penindasan mahupun korupsi mana-mana badan perantara.
Namun, masih ramai manusia harini yang melupakan standard kayu ukur kemulian yang telah islam gariskan. Menyedihkan, berbondong-bondong manusia yang mengaku cintakan Allah dan nabi hanyut hidup mengejar telunjuk jahiliyah.
Begitulah Allah memartabatkan semula wanita dalam masyarakat. Allah Al-Khaliq yang menciptakan wanita tahu benar bagaimana menggembirakan hambanya. Sesuai dengan naluri wanita yang suka dimanja dan dipuji, seakan sebuah hadiah istimewa mendengar hadith nabi,
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (HR. Muslim No.715)
Begitu berbungalah hati para wanita solehah. Manakan tidak, dirinya dinobatkan lebih tinggi nilainya dari jawatan hebat, dirinya lebih mahal dari emas permata, dirinya lebih cantik dari keindahan alam. Hanya kerana dia wanita solehah, maka dia lebih baik dari segala isi dunia.
Namun, semua itu telah dibutakan oleh pemikiran dan gaya hidup jahiliyah. Nilai hidup umat islam sekarang kebanyakkannya masih dijajah oleh bangsa kafir laknatullah tanpa disedari.
Disaat dunia terus menerus menabur fitnah terhadap islam dan wanitanya, lalu kita pula terus terpedaya dan merasa LEMAH! Ideologi feminisme, hak sama rata lelaki dan wanita terus dilaung-laung. Ironinya masih ada juga wanita moden namun cetek akal menyahut seruan itu.
Surah An-Nisa : 34
اَلرِّجَالُ قَوَّامُوْنَ عَلَى النِّسَاۤءِ بِمَا فَضَّلَ اللّٰهُ بَعْضَهُمْ عَلٰى بَعْضٍ وَّبِمَآ اَنْفَقُوْا مِنْ اَمْوَالِهِمْ ۗ فَالصّٰلِحٰتُ قٰنِتٰتٌ حٰفِظٰتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّٰهُ ۗوَالّٰتِيْ تَخَافُوْنَ نُشُوْزَهُنَّ فَعِظُوْهُنَّ وَاهْجُرُوْهُنَّ فِى الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوْهُنَّ ۚ فَاِنْ اَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوْا عَلَيْهِنَّ سَبِيْلًا ۗاِنَّ اللّٰهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيْرًا
Artinya: “Laki-laki (suami) itu pelindung bagi perempuan (istri), karena Allah telah melebihkan sebagian mereka (laki-laki) atas sebagian yang lain (perempuan), dan karena mereka (laki-laki) telah memberikan nafkah dari hartanya…”
Segala ketetapan Allah itu adalah sesuai dengan keperluan dan fitrah penciptaannya. Adakah kita yakin lebih pandai dan lebih tahu tentang keperluan kita berbanding pencipta kita?
Sudah pastilah sang pencipta lebih peka, cakna dan teliti atas setiap fungsi, manual dan syarat agar penciptaannya itu berfungsi lancar. Lalu mengapa pula kita berlagak pandai? Bahkan berani pula mencabar hak-hak yang telah Allah tetapkan?
Setelah islam mengangkat darjat wanita, lalu apakah peranannya? Sesuatu yang diangkat tidak mungkin disia-siakan. Mustahil juga sekadar suka-suka. Pasti disana ada fungsi dan peranan yang hebat yang mesti digalas oleh kaum hawa ini sehingga darjat mereka dimuliakan sebegitu rupa.
Jesteru janganlah kita kaum hawa merasa hina dan lemah tak semena-mena. Sesungguhnya sebagaimana dunia islam ternanti-nanti para lelakinya menjadi LELAKI, begitu juga harapannya menunggu wanitanya kembali berfungsi menggalas tanggungjawab yang sebenar.
Lalu usahlah kita menunding jadi ke sana ke sini. Mencipta alasan tidak jujur pada diri. Sudah! Cukup cukuplah! Mulakanlah langkah pertama sendiri. Percaya pada diri. Hasbunallah wa nikmal wakil (Cukuplah Allah sebagai penolong)
InsyaAllah disinilah ummi bakal kongsikan peranan-peranan wanita dalam islam. Ummi gariskan peranan wanita kepada 5 bahagian iaitu;
1) Wanita sebagai hamba Allah
2) Wanita sebagai anak
3) Wanita sebagai isteri
4) Wanita sebagai ibu
5) Wanita sebagai murobbi
Doakanlah ummi diberikan kesihatan, kekuatan dan kelapangan masa untuk berkongsi lebih banyak kepada semua insyaAllah.